SALAM! Saya baru mendarat di lapangan terbang baru di Acheh, Sumatera Utara. Perbezaannya begitu ketara sekali. Lapangan terbang Sultan Iskandar Mulia yang tersergam indah ini baru saja dirasmikan oleh Presiden SBY kira-kira tiga minggu lalu. Kali pertama saya mendarat di sini ialah pada Januari 2005, kira-kira dua minggu selepas tsunami yang melanda pada 26 Dis. 2004. Saya masih ingat mendarat dengan pesawat Berjaya Air di sebelah malam membawa pakaian, ubat, makanan, peralatan sembahyang dan keperluan kesihatan atas nama Yayasan Salam. Suasana di lapangan terbang ketika itu seperti pusat kecemasan. Nama-nama mereka yang hilang dan dicari ditampal di mana sahaja ada ruang dinding yang lapang. Setiap orang yang saya temui dalam keadaan trauma. Di wajah mereka kelihatan kesedihan yang amat kuat. Dalam perjalanan ke pusat khidmat Yayasan Salam sejurus selepas pendaratan, saya melalui tanah perkuburan yang menempatkan puluhan malah ratusan mangsa tsunami. Baunya menusuk hati. Air mata meleleh sepanjang perjalanan ke pusat khidmat kami. Rakan-rakan sukarelawan - Hadi, Mike, T Azela, Oni, Jabez, Nizam, Doc Malcolm dan ramai lagi - bertugas tanpa mengira penat lelah. Dalam hati mereka, ada keperitan yang menginsafkan. Begitulah keadaannya ketika itu.
Hari ini, penumpang di lapangan terbang di sambut dengan senyum manis dan ucap Selamat Datang yang mesra. Sekumpulan anak muda membuat persembahan Ratuk Bantai, iaitu nyanyian unsur agama yang meraikan setiap pengunjung asing. Terharu juga dibuatnya apabila dibanding dengan resepsi tahun 2005. Rombongan kami menetap di salah sebuah hotel baru di Bandar Aceh bernama Oasis Atjeh. Hotel ini lengkap dengan wi-fi percuma dalam kamar! Kami melawat beberapa tempat yang pernah dilanda tsunami dan sempat bersolat asar di Masjid Baitul-Rahman, satu-satunya mercutanda Acheh yang menjadi tempat perlindungan ketika tsunami melanda. Ada suka dan duka dalam lawatan kali ini. Saya sempat merakamkan beberapa pemandangan dalam perjalanan hari ini.
Moga-moga roh mereka yang terkorban dalam malapetaka tsunami mendapat ketenangan. Al-Fatihah.