SALAM! Dalam satu pertemuan di majlis bukber (buka bersama) di restoran Natrabu di Jakarta Jumaat lalu, saya sempat berbuah dengan beberapa wartawan Indonesia. Saya terbang ke Jakarta untuk satu pertemuan dengan SCTV, sebuah stesen televisyen swasta. Selepas itu saya berbuka puasa dengan kawan2 sambil membincangkan insiden protest di depan kedutaan Malaysia di Jakarta. Antara pengamal media yang saya jumpa ialah Pak Syaiful dan Pak Mukhlis dari Antara. Pak Didik Budiarto juga hadir sambil memberi perspektif kepada insiden protes itu. Saya juga sempat ditemubual oleh dua wartawan portal yang beroperasi di Jakarta. Antara kesimpulan yang saya buat berikutan pertemuan singkat itu ialah:
1 - kita harus menyediakan seorang pakar perhubungan awam atau atase media yang ditugas untuk berbicara secara langsung dan kerap dengan pengamal media di Indonesia;
2 - lebih banyak wartawan dari Indonesia perlu dijemput ke Malaysia agar mereka dapat melihat dengan mata kepala sendiri negara jiran mereka, iaitu Malaysia;
3 - hubungan peringkat tertinggi kedua buah negara perlu ditingkatkan supaya keakraban ini dapat dilihat dengan lebih jelas.
Kita melihat insiden penangkapan nelayan dan pegawai penguatkuasa Indonesia tempoh hari sebagai cuma satu insiden yang berlaku. Sebaliknya, mereka melihat insiden itu sebagai satu dalam puluhan insiden yang mana Malaysia dilihat sebagai agresif dan mementingkan diri sendiri sahaja. Dan ada media Indonesia yang berpendapat bahawa insiden terbaru ini sebagai satu lagi provokasi terhadap negara besar itu.