Friday, June 27, 2008

Soalan cepumas - Najib lawan Pak Lah ka?

RAMAI kawan-kawan bertanya dan meminta pandangan saya berikutan kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam. Timbalan Presiden Umno ditanya oleh wartawan apakah beliau akan bertanding pada pemilihan parti Disember depan.

Najib menjawab serba ringkas: "Saya belum membuat sebarang keputusan samada akan bertanding jawatan presiden Disember ini. Saya akan membuat ketetapan apabila sampai masanya...ada masa lagi."

Begitulah kenyataan ringkas yang saya petik dari berita Bernama. Hari ini, kenyataan beliau menjadi buah mulut dikalangan ahli-ahli Umno dan pemerhati politik. Banyak yang boleh diperkatakan tentang kenyataan itu.

Yang menarik, Najib tidak menyangkal soalan yang diajukan oleh wartawan berkenaan sejurus selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam. Jika dia benar-benar tidak berhajat bertanding, adalah amat mudah bagi Najib berkata demikian.

Tetapi apabila dia berkata "saya belum membuat sebarang keputusan," maka ahli-ahli Umno berpendapat bahwa Najib memberi gambaran bahawa beliau tidak menolak kemungkinan akan menawarkan dirinya sebagai calon kerusi nombor satu parti.

Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah pun membuat keputusan untuk mempertahankan kedudukannya. Hanya Ketua Bahagian dan MP Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, yang sudah mengumumkan kesanggupanm beliau untuk merebut jawatan itu.

Sesiapa juga yang ingin bertanding jawatan tertinggi itu mestilah mendapat sekurang-kurangnya 30 peratus pencalonan. Iaitu 58 pencalonan. Ku Li yakin dapat cukup pencalonan yang membolehkan beliau bertanding.

Pemimpin akar umbi Umno, dari peringkat cawangan atau bahagian, sedang mencari tanda-tanda atau petunjuk yang jelas bagi memudahkan mereka membuat pencalonan. Mesyuarat agong bahagian akan berlangsung bulan Oktober dan di sinilah pencalonan akan dibuat.

Mesyuarat agong cawangan akan bermula 17 Julai ini. Walaupun cawangan tidak boleh mencalonkan sesiapa untuk pemilihan besar nanti, mereka boleh membuat resolusi mendesak bahagian mencalonkan individu yang mereka anggap layak memimpin parti.

Tanda-tanda dari peringkat bawahan parti menunjukkan seolah-olah mereka mahukan perubahan. Walaupun ia bukan menyeluruh, ada tanda-tanda pemimpin bawahan cenderung ke arah pertandingan. Satu pertemuan pemimpin akar umbi dengan Abdullah baru-baru ini memberi gambaran bahawa mereka mahukan orang baru menerajui parti.

Nama Ku Li dan Najib adalah antara 'favourite' atau pilihan mereka. Setelah mendengar kenyataan yang jelas dari Ku Li, mereka kini menunggu-nunggu pendirian Najib dalam hal yang sama. Kenyataan Najib semalam dilihat oleh penyokong-penyokongnya sebagai tanda awal bahawa beliau hampir sedia menawarkan diri untuk dicalonkan.

Apapun, wartawan akan terus menjejak langkah Najib dan berusaha mendapatkan kenyataan yang lebih jelas dalam hal ini. Memang menjadi budaya Umno, pemimpin yang mahu bertanding biasanya akan menawarkan diri dan menyatakan kesedian untuk masuk ke gelanggang pilihan mereka.

Sama-sama kita tunggu.

10 comments:

Wakmasnoor said...

Najib dalam DILEMA. Itu hakikatnya. BUT if he does not, then someone else will challenge Pak Lah.

So whats the call then dear Najib?

berasiam said...

Kalau Najib tak lawan, dia akan tersepit di kerusi Timbalan. Muhyiddin semakin menghimpit. Ramai yang rasa Muhyiddin sesuai di kedudukan no. 2. Mungkin Muhyiddin pun tunggu Najib umum tanding no. 2 untuk dia umum lawan Najib. Jika itu berlaku, Najib yang dipersepsikan sebagai pengecut akan kecundang dan Pak Lah akan dapat timbalan pilihannya. Sejak awal, Najib adalah timbalan yang dipaksakan kepadanya.

Kalau Najib umum tanding presiden, ahli akar umbi ada pilihan untuk cipta sejarah. Biarkan Najib lawan Ku Li, tidak perlu calonkan Pak Lah. Sejarah akan tercatat penyandang presiden tidak dapat cukup pencalonan untuk bertanding. Bukankah Pak Lah suka mencipta sejarah luar biasa.

Zainal A. Kasim said...

Salam,

Ini parti demokrasi. Pertandingan adalah lebih baik daripada mengekalkan tradisi "menang tanpa bertanding".

http://c-bok.blogspot.com

bujai said...

najib dalam dilema. pertama, jika paklah benar2 ikhlas akan menyerahkan kuasa kepada najib (sepertimana kata paklah bahawa dia dan najib dah capai kesepakatan berhubung isu itu), tak perlulah najib bimbang.

jika sebaliknya (jika ia hanya helah paklah untuk mengelakkan tentangan najib pada pemilihan disember ini), najib akan terjebak dalam penantian dan kesabarannya sendiri.

andaikata jika paklah enggan menyerahkan kuasa kepada najib sebelum disember - dan jika tengku razaleigh sendiri yang bertanding jawatan presiden - najib akan terkapai-kapai. jika muhyidin pula yang bertanding timbalan presiden (dan ketika itu belum ada peralihan kuasa), najib mungkin tewas.

jika cukup pencalonan, najib perlu mencabar paklah. dia takda pilihan. kalau dia tunggu saja paklah serah baton, mungkin tak jadi kenyataan atau mengambil masa yang lebih lama lagi. kalau orang lain pulak lawan najib dan ditakdirkan dia kalah, that will be the end for him.

politik umno makin bercelaru. ia makin bersifat peribadi. najib kena tepuk dada, tanya selera.

NGINAP SRENGENGE said...

Dato',
sapa naik jadi presiden pun sama juga.Saya harap Ku Li lebih berwibawa.Mahyuddin jadi tim.presiden.

A KADIR JASIN said...

Sdr Pahit Manis,

1. Najib lwn Abdullah
2. Ku Li lwn Abdullah
3. Muhyiddin lwn Najib (kalau Najib tak lawan Abdullah)
4. Abdullah/Najib lwn Anwar
5. Anwar lwn Pembantu Khas
6. Tetapi yang paling penting akibat pembesar sedang bercakaran, rakyat terpaksa lawan inflasi, lawan kemelut ekonomi, lawan jenayah, lawan kenaikan tambang bas sekolah...lawan, lawan, lawan.
7. Apa dah jadi dengan negara kita?
8. Dengan bangsa kita -- dah tak ada malu dan segan lagi?
9. Jangan salahkan orang lain kalau Melayu nampak macam bangsa keparat!
10. Umno, PKR, Pas --- di mana terletak harapan politik orang Melayu dan rakyat miskin yang memerlukan pembelaan?

Saya tidak pernah melihat suasana yang kacau-bilau, kelam-kabut dan huru-hara macam sekarang hatta semasa 13 Mei, 1969.

Apa dah jadi?

kluangman said...

Bagaimana pertandingan Presiden 4 penjuru lah-kuli-jib-din.

Dan Timabalan Presiden pula 5 penjuru mudin-rustam-rais-matyson-isa.

Semuanya bergantung kepada undi UMNO Sabah

Anonymous said...

Gerenti Najib tak lawan Pak Lah

zeme said...

Salam,

Pemimpin harus berani. Pemimpin yang berani membuat keputusan. Pemimpin yang berani memberikan jawapan YA atau TIDAK.

Dalam konteks ini, pemimpin seperti Pak Lah dan Ku Li sahaja yang berani untuk mengatakan YA atau TIDAK. Kenapa Najib harus masih berteka-teki. Kalau mahu katakan YA kalau tidak sudi katakan TIDAK. Di sini teras kepada kepimpinan yang bertanggungjawab dalam segala bentuk keputusan. Jadi boleh disimpulkan bahawa Najib takut pada bayang-banyang sendiri jadi bisakah Najib jadi pemimpin kalau sekarang sudah tidak berani?

Wasalam.

Edy said...

Tolong sebarkan.

Kerajaan Penjajah

Terima kasih