Monday, August 31, 2009

Ada keresahan dalam usia ku yg ke 52

DALAM usiaku yang ke 52, aku melalui pelbagai perasaan yang kadangkala aku sendiri tidak memahami. Ada keresahan, ada kebimbangan, ada kegembiraan. Ada juga kepuasan. Ada keringat dan air mata. Ada suka, ada duka. Aku resah apabila anak-anak bertelagah sesama mereka, seolah-olah sengaja tidak mahu memahami hasrat dan nurani masing-masing. Ada kala mereka bertikam lidah dengan kata-kata yang amat tajam, menghiris hati ku. Macam mana aku tak bimbang apabila mereka bertegang urat tanpa menghiraukan aku yang tercegat memikirkan karenah mereka. Dalam pada itu, apabila mereka berdakap mencurahkan rasa kasih sayang, aku merasa amat lega, lantas menghilangkan apa juga rasa curiga di dada. Aku sudah melalui pelbagai pahit manis dalam usia muda ku ini. Aku menaruh harapan setinggi gunung agar anak-anak memahami tanggungjawab mereka, agar mereka tidak begitu mudah meluahkan kata hasutan atau cemuhan atau bertindak di luar batasan dan tata susila. Aku ingin tidor lena, mendidik anak-anak dengan kasih sayang dan rasa tanggungjawab. Aku cuma dapat manadah tangan memohon agar tahun-tahun mendatang akan dipenuhi dengan kesejahteraan dan kebahgiaan. Salam selamat kepada semua anak-anak, jauh dan dekat. Sama-sama kita bina hidup yang lebih bermakna. Ingatlah, kita perlu hidup dengan hati yang berani, semangat yang tidak luntur, dan jiwa yang merdeka.

Saturday, August 29, 2009

MCA, Gerakan - boleh pakai lagi ke?

SEJAUH mana agaknya Barisan Nasional boleh bergantung nasib dengan MCA dan Gerakan, dua parti komponen masyarakat Cina yang berganding dengan Umno, MIC dan parti-parti lain dalam pakatan nasional. Parti Gerakan sudah hilang taring dan pengaruh setelah kalah teruk dalam Pilihanraya Umum tahun lalu. Kini, parti itu sedang berusaha mengembalikan pengaruh dan maruahnya. Dalam pada itu, kita lihat pula kemelut dalam MCA. Kemana agaknya MCA mahu dibawa oleh Presidennya, Ong Tee Keat (OTK)? Selepas pemecatan timbalan presiden Chua Soi Lek (CSL), Tee Keat sepatutnya boleh merasa lega kerana seteru nombor satunya sudah dinyah dari parti. Namun, tindak tanduk sebahagian ahli MCA tidak pula memberi keselesaan kepada OTK. Satu percubaan untuk mengadakan mesyuarat agong luar biasa sedang diusahakan untuk menyingkir Tee Keat. Tiba-tiba, OTK sekarang berhadapan dengan satu krisis dalaman MCA yang boleh menjejaskan kedudukan beliau dan MCA. Jika tidak berhati-hati, Barisan Nasional juga boleh terjejas. Chua Soi Lek bukan pemimpin yang begitu mudah untuk diketepikan. Benar, skandal seksnya ialah satu titik hitam dalam hidupnya. Tidak mungkin CSL boleh mengembalikan zaman kegemilangannya. Tetapi, bak kata pepatah Inggeris: "Politics is the art of the impossible (politik ialah satu permainan yang memolehkan yang mustahil)." Sama-sama kita tunggu dan lihat tai chi jenis aa yang akan dibawa oleh CSL dan OTK.

Soalannya sekarang bagi Barisan Nasional ialah sejauh mana ia boleh bergantung dengan MCA dan Gerakan? Jika dua parti komponen ini tidak boleh memulihkan keadaan dalamannya, BN pasti mencari alternatif untuk mengekalkan pengaruhnya di persada politik tanahair.

Thursday, August 27, 2009

Umno tak boleh bangga kurangkan majoriti

PADA malam pilihanraya kecil di Permatang Pasir, saya sempat menjengah kawasan dewan undangan itu. Ceramah PKR menjadi tumpuan ramai orang dan pusat operasi PAS penuh dengan penyokong yang berpusu-pusu berhimpun di situ. Di khemah BN/Umno pula, penyokong parti sibuk membuat persiapan akhir. Tetapi nampak macam kurang semangat. Di pusat operasi BN/Umno, saya lihat calon BN Rohaizat Othman ke sana ke mari bersalaman dengan mereka yang berkumpual di situ. Tetapi saya lihat raut wajahnya yang kurang ceria. Malah, Rohaizat ke sana ke mari berseorangan, tidak pula dikerumuni oleh penyokong atau pengikut. Tak ubah macam pengantin. Kata orang-orang tua, pengantin tu "darah manis," maknanya perlu sentiasa diteman ke sana ke mari. Saya "baca" keadaan itu dan membuat satu kesimpulan dalam hati: "Susah calon ni nak menang. Macam ada yang tak kena dengan aje..."

Apapun, kita semua tahu bahawa hajatnya nak menjadi wakil rakyat tak kesampaian. Jauh lagi perjalanannya. Dan jauh juga lagi perjalanan BN/Umno nak mengembalikan keyakinan pengundi kepada parti itu. Banyak pelajaran dari pilihanraya kecil ini. Pemeriksaan rapi ke atas calon hendaklah dibuat dengan lebih teliti, supaya tak timbul desas desus tentang kewibawaan calon. Calon Pas Mohd Salleh mesti tidor lena selepas keputusan diumum. Mana tidak. Selepas berkali-kali mencuba untuk menjadi wakil rakyat, akhirnya dia berjaya juga. Kegagalan masa lampau tidak menjadi halangan atau mematahkan semangat.

Saya difahamkan ramai orang-orang kanan BN/Umno yang tak turun padang membantu calon. Mereka menjauhkan diri, kata kawan-kawan yang "mengetahui" sebab musabab. Ada juga yang merungut bahawa calon sendiri yang "merosakkan" peluangnya untuk menang. Antara persepsi dan realiti, pengundi Permatang Pasir sudah bersuara. BN/Umno tak boleh berbangga dengan "kejayaan" mengurangkan majoriti parti lawan. Bak kata pepatah Inggeris:"Back to the drawing board (Kena buat kira-kira balik ni)."

Monday, August 24, 2009

Apa muslihat Adun PKR tukar kiblat?

SEJAUH mana agaknya perubahan kiblat pemimpin PKR semalam akan mempengaruhi keputusan pilihanraya kecil di Permatang Pasir? Tiga hari sebelum pengundian, wakil rakyat PKR di Lunas, Kedah Radhi Salleh mengumumkan dirinya sebagai Adun Bebas kerana tidak lagi yakin dengan perjuangan partinya. Radhi yang menjawat EXCO pelancongan berkata dia akan kekal sebagai ahli EXCO, tetapi ini sebenarnya akan ditentukan oleh Menteri Besar Datuk Azizan. Pengunduran Radhi dari PKR mungkin dipandang kecil oleh PKR dan ini tidak menjejaskan pemerintah PKR di negeri Kedah. Namun, soalan yang bermain di kepala ialah - apakah ini tanda-tanda nyata bahawa ada yang tidak kena dalam pakatan itu? Pengikut PKR pasti akan mengecam Radhi dan mungkin ada yang menuding jari kepada BN/Umno. Sudah tentu ada yang membuat kesimpulan bahawa Radhi sudah "dibeli." Spekulasi memang permainan orang politik, tetapi yang nyata Radhi tidak mungkin keluar partinya tanpa sebarang sebab yang kuat. Kewibawaannya sudah pasti dipertikaikan, sama seperti dua lagi ADUN PKR di Perak yang keluar parti itu tahun lepas. Sedikit sebanyak, pengumuman ini akan memberi kesan kepada keputusan pilihanraya kecil Permatang Pasir. Dalam pada itu, salah sebuah bahagian PKR, Padang Serai, semalam pula mengumumkan pembubaran bahagian itu atas sebab yang sama dengan Radhi - bahawa PKR hanya memperjuangkan kepentingan individu dan bukan rakyat. Pengumuman itu dibuat di satu sidang akhbar yang dikendalikan oleh pemangku ketua bahagian Jamaluddin atau Din Komando.

Kesan kedua-dua pengumuman ini perlu dilihat dengan lebih mendalam. Oleh kerana ia dibuat beberapa hari sebelum pilihanraya kecil Permatang Pasir, sudah tentu kita semua mahu melihat sejauh mana impaknya nanti. Sedikit sebanyak, ia akan memberi kesan kepada jentera parti itu. Satu soalan lain ialah - sejauh mana pula BN/Umno akan dapat menggunakan isu tersebut untuk meraih undi Selasa ini?

Friday, August 21, 2009

Ramadhan ya Ramadhan

SALAM Ramadhan

ramadhan ya ramadhan
kau datang lagi
setelah semusim kau pergi
kedatangan mu amat dinanti
agar dosa durjana dapat dicuci

ramadhan ya ramadhan
kau bawa seribu pengampunan
bagi mereka yang berdampingan
kau janjikan kebahgian, kesempurnaan

bawa ku bersama mu ya ramadhan
ke pangkuan kesejahteraan

aat
30 syaaban 1430

Friday, August 7, 2009

Khalid tak ambil tindakan ke atas Liu?

KELAM KABUT di Selangor yang membabitkan EXCO DAP Ronnie Liu dijangka reda hari ini. Menteri Besar Khalid Ibrahim akan membuat keputusan samada memecat Liu atau mengekalkannya. Isu bermula apabila Liu dikatakan campurtangan dalam kerja pegawai penguatkuasa mengenai jualan arak di Selangor. PAS, rakan kongsi DAP dan Parti Keadilan dalam kerajaan campuran Selangor, inginkan Liu dipecat kerana disebut sebagai menyalahi kerja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Saya tak nampak bagaimana MB akan menyingkir Liu kerana orang kuat DAP itu banyak berjasa kepadanya. Dan dalam perhitungan MB, DAP adalah lebih "senior" dari PAS dalam kerajaan Selangor kerana ia mempunyai 13 kerusi berbanding as yang hanya ada lapan. Pada sidang akhbarnya Rabu lalu, Khalid melarang EXCOnya dari menyurakan pendapat di khalayak ramai mahupun kepada media. Larangan ini adalah untuk membolehkan penyelesaian dibuat tanpa sebarang kekecohan baru. Walaupun imej Liu tercelar akibat isu ini dan dakwaan bahawa beliau bergaul rapat atau bersekongkol dengan kongsi gelap, MB memerlukan khidmat Liu sebagai Exco kanan. Mungkin ada yang berkata bahawa Khalid cuma menjaga kedudukannya sebagai MB. Tetapi inilah realiti politik yang Pas perlu terima. Pengundi di Selangor hendaklah bijak membuat penilaian. Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tak semudah itu hendak digugat oleh isu dalaman. Samada isu dalaman itu menjejaskan keberkesanan pentadbiran dan kepentingan pengundi, sama-sama kita tunggu.

Saturday, August 1, 2009

Demo tak mungkin hapus ISA

NASIB baik saya di Kuching hari ini. Kawan-kawan yang di Kuala Lumpur memberitahu mereka terkandas teruk akibat demonstrasi jalanan di bandaraya. Mereka yang mendesak undang-undang ISA dimansuh telah berkumpul di tengah bandar untuk cuba menghantar memo ke Istana Negara untuk menguatkan lagi asakan. Beberapa SMS yang saya terima menunjukkan bahawa pergerakan di KL benar-benar terjejas. Susah nak cari makan jika demonstrasi ini berterusan, kata kawan bawa teksi. Kawan yang mengendalikan blog foto, Jinggo, pula mendapat malang apabila kamera mahalnya diragut. "Ada Mat Rempit ragut kamera aku semasa sedang merakam demo tadi. Patah kakilah dibuatnya," keloh Jinggo dalam SMS. Blogger ada merakamkan demo itu dalam blognya. Memang ada beberapa perkara dalam ISA itu yang perlu diubahsuai tetapi saya ragu jika demonstrasi jalanan ini akan dapat membuat sebarang pindaan.