Saturday, August 30, 2008

Jiwa merdeka, hati waja, warisan terjaga

malam ini ku buat bandingan
dua generasi berlainan zaman
bagi yang berusia setengah abad
dengan remaja belia sesuku abad

usiaku tempuh dengan keringat
membanting tulang empat kerat
mendidik, menyuap sambil merawat
anak kecil lahir cukup sifat

dalam usia ku hampir enam dekad
aku lalui pahit manis tanpa penat
menyara isteri dan anak yang empat
menyara juga sahabat dan kaum kerabat

syukur alhamdulillah semuanya selamat
hidup aman sihat wal'afiat
sekali sekala cabaran mendekat
menguji, menggoda iman dan tekad

dalam usia mencecah enam dekad
doa dan harapan mencari berkat
moga anak mendengar nasihat
hidup direstu penuh cermat

ambil hati bonda mu sebelum terlewat
jaga hati ayah mu sebelum terlambat
tanpa mereka tiada dunia dapat kau lihat
doakan mereka selamat dunia akhirat

panas radang mu tak bertempat
pernah juga kau bersuara kesat
luka hati mereka sukar dirawat
terguris hatinya tak dapat kau lihat

cuba kau renung sepanjang hayat
pernahkah kau tidak mendapat
belaian, tumpuan jauh dan ekat
makan pakai, tidor bertempat

segala kau pinta jarang tak dapat
lambat laun hasilnya kau nikmat
merajuk, menangis, semuanya muslihat
jangan kau sangka bonda mu tak melihat

jika hati mu luka janji tak tepat
jika hati mu remuk setiap hari dan saat
luka lagi hati bonda mu bagai disiat
remuk lagi hati ayah mu bagai dipahat

ayah bonda mu sependapat
agar anak-anak dibekalkan nasihat
menjaga maruah, nama dan adat
bersihkan hati, hadapilah kiblat

bahgia ayah bonda mu bila melihat
anak-anak selamat kuat berpakat
keraskan hati wajakan semangat
warisan ayah bonda sentiasa kau taat

berbaktilah kepada agama dan umat
pastinya hidup mendapat berkat
didoa sahabat dan para malaikat
agar kau hidup penuh khidmat

hayat ayah bondamu akan tamat
entah sedekad, entah seabad
selagi nyawa bersama jasad
senyuman mu menjadi azimat

nasihat mereka segera disemat
dalam hati mu disimpul kuat
segala kata kau genggam erat
berjanjilah hingga kiamat

jaga nama jaga martabat
merdeka diri, hati dan semangat
perjuangan mu biar bertempat
jangan sampai hidup merempat

kasih bonda mu berzaman kuat
tiada luntur tiada penamat
kasih ayah mu sepanjang hayat
tiada luntur tiada penamat

bela pertiwi mu penuh semangat
agar warisan terjaga penuh selamat
jangan sekali menjadi pengkhianat
hidup mu kelak yang tidak berkat

ahmad a talib
rumah kayu lama
kuala lumpur
30 ogos, 2008

6 comments:

Anonymous said...

SDRA,

saya lihat ini bukan setakat nasihat kepada anak dalam satu keluarga. bait dari puisi ini juga menggambarkan hubungan antara ibu pertiwi dan anak watannya. Halus dan amat berpatutan! terima kasih kerana menyedarkan saya!

moga2 sentiasa sihat dan diberkati.

halim, 30 tahun

anuarhashim said...

Hasrat ayah bonda sebagai makrifat digengam erat,harapan tersurat tersirat seperti nabi kasihkan umat. Terima kasih .Merdeka.

Anonymous said...

Dato

Selamat Menyambut Ulang tahun kemerdekaan dan Ramadhan al mubarak dari kami di perantauan

Dato, Story Boden tu bagus, dapat jugak lari dari asyik duk baca story politik...

Nani
Big Apple

jitraman said...

Dato' Penghulu ke Batu Pahat
Singgah sebentar mandi di Jeram
Kalau Melayu hendak kuat
Teguh dan kuatkan ajaran Islam

ramble roosevelt said...

Salam..
Ia cukup indah dan bermakna.. =D
A great message especially to young generation like me..
Your poem, I would bear in mind..
Tc.. Selamat Menjalani Ibadah puasa.. Wassalm..

Ahmad A Talib said...

Salam Ramble Roosevelt and Halim,

Sdra berdua memang betul. Bait-bait yang saya tulis mengandungi yang tersurat dan tersirat. Ia juga dialog antara ibu pertiwi dan anak-anak watannya. Selamat sentiasa. TQ