Tuesday, December 18, 2007

Perutusan Karim Sulaiman pada semua

TOK MAT,ASSALAMUALAIKUM. ESOK 18 DISEMBER 2007 GENAP SETAHUN KUNJUNGAN DATUK DR LATIFF DAN RAKAN MEDIA KE RUMAH SAYA. KUNJUNGAN ITU MEMBAWA SINAR BARU DALAM HIDUP SAYA. INILAH CORETAN SAYA UNTUK SEMUA PENGUNJUNG BLOG TOK MAT YANG SENTIASA MEMBERI SOKONGAN DAN DORONGAN KEPADA SAYA.

PADA waktu sebegini tahun lalu, saya duduk bersendirian memikirkan keadaan kesihatan yang menurut doktor – mereka telah melakukan apa yang terbaik – supaya saya pulih. Banyak perkara bermain di fikiran.Apa akan terjadi kepada keluarga jika keadaan kesihatan semakin memburuk. Mereka tempat saya bergantung hidup.

Pada waktu itu tidak ramai yang mengetahui dengan jelas keadaan kesihatan saya. Ada yang tahu saya sakit – tetapi sakit yang bagaimana.Kalau sebut nama penyakitya - scleromyxoedema - bukan saja orang biasa, malah doktor pun ada yang tidak pernah mendengarnya. Saya sendiri pun kurang mendapat maklumat mengenainya kerana apa yang diterangkan doktor selama ini pun secara umum.

Pada waktu ini, keadaan kesihatan saya berada pada tahap paling rendah. Hanya semangat serta sokongan isteri dan enam anak memberi kekuatan untuk terus menjalani hidup ini.Saya sudah ‘tidak mahu’ berjumpa orang.. Bukan apa, kerana percakapan saya semakin kurang jelas dan kadang kala suara saya hilang. Kalau bercakap pun orang tidak faham. Saya ingatkan pada masa itu saya akan jadi bisu.

Berat badan semakin susut hanya tinggal 35 kilogram kerana kesukaran menelan makan. Padahal beberapa tahun sebelum itu berat saya sekitar 60-70 kilogram.Paling membimbangkan keadaan fizikal semakin sukar digerakkan. Anggota badan seperti kaki, tangan, kepala dan pinggang semakin mengeras. Banyak kegiatan harian tidak dapat dilakukan.

Makan pun sudah disuapkan isteri dan anak-anak.Pada waktu itu setahun yang lalu – saya menyerahkan segala-galanya – kepada ketentuan Ilahi kerana sudah melakukan apa saja usaha untuk merawat penyakit ini.Namun, pada 17 Disember 2006 saya menerima panggilan daripada boss lama di Berita Harian saudara Mior yang memberitahu Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Abd Latiff Ahmad ingin melawat saya di rumah.

Kunjungan Datuk Abd Latiff pada 18 Disember 2006 bersama-sama rakan media termasuk Datuk Ahmad A Talib adalah rahmat yang membawa sinar baru dalam kehidupan saya sekeluarga. Saya menyedari rupa-rupanya tidak bersendirian dalam mengharungi ‘penderitaan’ penyakit ini.

Hasil daya usaha rakan-rakan, saya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapat rawatan selanjutnya. Saya kemudian menerima rawatan ivig setiap bulan dan baru-baru ini rawatan fototerapi tiga kali seminggu di HKL.

Kini genap setahun, saya amat bersyukar kepada Allah kerana walaupun tidak sembuh sepenuhnya, terus diberi kesempatan untuk menjadi hamba di bumi-Nya.Dengan keizinan-Nya, kekurangan setahun lalu telah dapat saya ‘peroleh’ semula. Percakapan saya semakin jelas, sudah boleh makan sendiri dan berat badan pun naik sehingga 50 kilogram.

Saya akan terus menjalani rawatan sehingga doktor berpuas hati dengan keadaan kesihatan saya.Mengikut pengalaman di luar negara (tiada rujukan penyakit ini di Malaysia kerana kes saya adalah yang pertama dirujuk ke hospital kerajaan), penyakit ini tidak boleh disembuhkan 100 peratus, lebih-lebih lagi tahap penyakit saya pada waktu itu berada pada tahap ‘teruk’.

Apapun saya bersyukur dengan keadaan kesihatan sekarang walaupun ada doktor pernah memberitahu umur saya tidak panjang berdasarkan keadaan penyakit pada waktu itu.Selama setahun menerima rawatan di HKL saya insaf bahawa ada orang yang lebih malang dan teruk penyakitnya daripada saya. Apa yang saya alami ini tidaklah seberapa berbanding penderitaan mereka.

Kelebihan saya kerana mempunyai rakan-rakan prihatin yang sentiasa memberi semangat dan dorongan supaya tidak berputus asa dan meneruskan kehidupan ini. Rakan-rakan memberi kekuatan kepada saya untuk melawan penyakit ini.Sokongan dan bantuan rakan-rakan dalam apa saja bentuk dan cara , amat saya hargai dan kenang sepanjang hayat ini.Terima kasih tidak terhingga kepada semua kerana mengambil berat dan sentiasa mendoakan kesejahteraan saya.

Terima kasih juga kepada Datuk Ahmad Talib dan saudara Rocky yang pertama membawa kisah saya di dunia siber.Hanya Allah yang dapat membalas kebaikan saudara semua.. Saya juga mendoakan supaya Allah merahmati saudara semua.Wassalam. 18 Disember 2007

9 comments:

syed syahrul zarizi b syed abdullah said...

Sama-sama kita panjatkan doa kepada ILAHI semoga diberi kekuatan dan rahmat kepada umatNYA.

Saya doakan semoga saudara kita kembali sembuh, insyaallah.

JBingkasan said...

Tok Mat,

Grateful that you keep us informed of Sdr Karim's health development.

Sdr Karim as you know was with me in London about 10 years ago. He was my senior there and that his wife and children were part of my family while in UK.

Sdr Karim,

kami sekeluarga doakan semoga sdr kembali sembuh, God Willing.

Anonymous said...

Datuk,

Terima kasih kerana postkan catatan Sdra Karim dalam blog Datuk ni, dan sejuk hati saya membaca catatan beliau dan keadaan beliau yang dah sedikit sebanyak pulih.

Semoga Datuk dan rakan-rakan meneruskan perjuangan membela nasib "keluarga" wartawan yang berada di tanahair.

Salam dan doa dari kami berdua di Kotaraya New York semoga Sdra Karim cepat sembuh.

Nani-Big Apple

Anonymous said...

Saudara,
Membaca kisah saudara, saya teringat kepada seorang rakan sesama menuntut di Louisiana State University sekitar 1978 dahulu.

Namanya HAMID BIN TAAKHIR. Beliau disahkan terkena satu penyakit ganjil hasil dari gigitan nyamuk. Agaknya nyamuk di Amerika ni bisa-bisa jenisnya. Sebelum Hamid, sudah 2 pesakit disahkan berpenyakit jenis yang sama dan kedua-duanya telah mati. Bayangkan keresahan kami ketika itu, terutamanya terhadap isteri Hamid, Kak Saerah dan 4 (?) anak-anak mereka. Persatuan Pelajar Malaysia LSU telah membantu sedayanya. Malaysian Student Department dari Washington DC juga telah banyak membantu. Kami bergilir-gilir menjaga beliau semasa beliau di rawat diHospital Baton Rouge.
Dipendekkan cerita, dizinkan Allah, beliau sembuh.
Seolah2nya, saya dapat tumpang merasa perasaan Saudara dimasa sembuhnya saudara dari penyakit yang Saudara hadapi, sebagaimana saya telah merasa apabila Hamid disahkan terlepas daripada masaalah penyakitnya.
Sama2lah kita berdoa agar "peluang kedua" yang diizinkan olehNya akan kita gunakan untuk kebaikan diri, keluarga dan ummah sejagat.
Maaf sekiranya saya "tercelupar".

Anonymous said...

Tok Mat,
Komen saya adalah dituju kepada Sdr Karim Sulaiman.
Maaf kerana tidak memohon laluan dari Tok Mat sebelumnya.
Wassalam

Razlan said...

Tok Mat,

Tahniah kerana usaha yang ditunjukkan.

Rupa-rupanya kita masih jauh lagi didalam dunia perubatan, sepatutnya doctor-doctor di Malaysia ini perlu membuka minda dan bertukar ke era zaman cyber, mencari maklumat di serata dunia bagi setiap pesakit dan penyakit.

Jangan mudah memberi andaian penyakit ini tiada ubat dan andaian pesakit tidak boleh hidup lama.

Bulan Lepas saya baru kehilangan rakan yang menghidapi penyakit cancer hati.

Setahun sebelum belian menninggal, doctor pernah berkata hanya semangat yang boleh memulihkan beliau dan tidak ada penyelesaiannya, kami dan rakan-rakan memeberikan semangat dan mendoakkan beliau sembuh, sambil keluarga beliau membeli ubat-ubatan.

Dengan bantuan ubat Al-Jabar, beliau sihat dan boleh bekerja semula.

Masalahnya, jika terdapat ubatan yang bermutu dan boleh memberi peluang pesakit ini hidup lebih lama(dengan izinNya) kenapa ianya tidak dimasukkan terus kedalam program ubat-ubatan di Hospital-hospital?

Kenapa doctor kita terlalu mudah mematahkan semangat mereka. Sepatutnya kita berusaha sepenuh hati dengan menggunakan seluas-luasnya kemudahan yang ada bagi mencari penyelesaian.

Kes ini sebagai contoh , terdapat beribu kes yang sebigini setiap hari dinegara kita.


pikirkan bersama ...

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Saya tertarik dengan komen saudara Lan. Saya berpendapat doktor di malaysia perlu bertukar-tukar pandangan sesama mereka tidak kira sama ada doktor swasta atau kerajaan.
Doktor juga perlu rajin mencari 'benda' baru dalam dunia perubatan termasuk melalui internet.
Contohnya, penyakit saya ketika mendapat rawatan di sebuah hospital kerajaan sejak tahun 2000 - saya hanya diberikan krim. Itupun bukan dikira ubat kerana ia bagi melembapkan kulit. Ada pun ubat sebenarnya pain killer - saya tidak mengambilnya kerana tahu kesan buruk daripadanya.
Pada 2004, baru doktor memberikan ubat. Itu pun tiada kesan dan keadaan saya bertambah buruk. Kemudian menerima kimoterapi. Tiga kali dan masuk kali keempat, doktor tidak mahu meneruskan kerana tiada faedahnya.
Doktor memberitahu mereka telah melakukan terbaik untuk saya.
Apabila dirujuk ke Wad Dermatologi Hospital Kuala Lumpur - mereka telah bersedia menerima saya. Untuk perhatian doktor saya adalah Puan Sri Suriaya Hani Tun Hussein Onn yang juga Ketua Jabatab Dermatologi HKL.
Pada pertemuan kali pertama mereka sudahpun menghubungi pakar lain untuk bersama-sama membantu merawat saya.
Apabila saya dimasukkan ke HKL dua minggu kemudian, mereka sudah ada rawatan sesuai untuk penyakit ini.
Sebenarnya ada beberapa pilihan untuk penyakit scleromyxoedema - tetapi rawatan yang saya ambil iaitu ivig paling selamat.
Apabila saya melayari internet - saya mendapati rawatan ivig sudah digunakan dengan meluas di luar negara. Malah, HKL telah menggunakan rawatan ini untuk penyakit lain.
Memanglah scleromyxoedema adalah penyakit yang terlalu jarang ditemui di dunia. Malah, di Malaysia saya difahamkan saya adalah pesakit scleromyxoedema yang pertama dirujuk di hospital kerajaan.
Alhamdullillah dengan izin Allah keadaan saya bertambah baik.
Apa yang hendak saya utarakan seperti pandangan saudara Lan doktor di Malaysia perlu membuka minda mereka dalam dunia perubatan.
Selama ini ada yang beranggapan bahawa hospital swasta is the best. Hakikatnya kita mempunyai doktor kerajaan yang hebat dan sentiasa berfikiran terbuka untuk mencari rawatan untuk pesakit mereka.
Doktor di HKL memberitahu jika saya menerima rawatan ivig pada peringkat awal lagi - insya-Allah keadaan saya tidak seteruk sekarang.
Mungkin jika doktor bertukar pandangan walaupun dengan doktor kerajaan atau melayari internet mereka akan menemui rawatan ini.
Ivig bukan baru di HKL dan dunia
Saya bukan hendak menetang ketentuan takdir, tetapi Allah memberikan sesuatu dengan sebabnya.

A KARIM SULAIMAN

miraks said...

TOK MAT,

Minta maaf pada posting awal - ada kesilapan. Sejak 2000 saya nenerima rawatan di hospital swasta. Hanya pada 2007 dirawat di HKL.
Apa sebenarnya yang hendak saya katakan bahawa doktor kerajaan lebih baik drp doktor swasta - dalam kes saya,

Terima kasih.

Anonymous said...

salam.

dengan kehendak allah swt, dapat juga kiranya saudara sembuh, dengan usaha dan doa kepada-Nya.

sedikit sebanyak juga, kepada saya yang tidak menghidapi penyakit yang pernah saya dengar (dan susah diubati), ia telah memberi keinsafan kepada saya, dengan apa yang saudara lalui dan berkat usaha dan do'a yang dipohon kepada-Nya.

Saya telah ikuti kisah saudara di blog ini sejak pertama kali ia diterbitkan di sini.