Saturday, January 30, 2010

Rocky cari kasut hitam bertali. Datuk ke?


SALAM! Hari ini ada beberapa orang kawan pergi beli kasut hitam bertali. Ada juga yang pergi beli kain sampin hitam. Semua ini untuk dipakai masa ambil pingat pada hari Wilayah. Rupa-rupanya nak terima pingat dari DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong sempena Hari Wilayah Isnin ini. Yang saya dengar Pak Mus dari Harian Metro, Syah dan Ashraf dari TV3 semua dah mencuba baju Melayu baru masing-masing. Blogger Rockybru pun dah beli kasut hitam bertali. Tahniah beb!

Friday, January 29, 2010

Wild boars got value; trouble makers none

SALAM! I took a short drive to Kg Medan/Kg Sentosa yesterday after hearing that wild boar heads were thrown into the compounds of three mosques. When things appear to be on the mend over recent issues, this incident is totally irresponsible. I just wonder what good this act will do. Kg Medan has a history of some trouble in the past. Some years ago, fights broke out which resulted in the burning of motorcycles and arrests. I took a ride in the area too at that time. It was night and the sight of a burning motorcycle didn't help to calm nerves. The wild boar head incident made me conclude that whoever did this need to have their heads examined, in more ways than one. I bumped into our young MP Khairi (KJ) at the mosque, who was already on the scene doing his part to calm things down. Several young MIC leaders were there too. We all want peace and harmony. No two ways about that. The trouble seekers should be sent to an island and let loose among the wild boars..

Tuesday, January 12, 2010

Dah panas macam ni baru nak berdialog

SALAM! Hari ini kita dengar ramai orang yang buat dialog sana sini. Dialog agama pun ada. Mungkin ini berpunca dari isu penggunanaan Kalimah Allah dalam majalah The Herald. Elok sangat bila ada dialog tu. Orang-orang politik dialog sana sini. Mungkin ada "political milage" atau khasiat politik hasil dialog ini. Masing-masing mahu dilihat sebagai ada main peranan untuk mencari penyelesaian isu panas hari ini. Ada juga yang buat kesimpulan bahawa orang politik juga mungkin ada peranan memulakan kecoh dalam isu ini. Apa pun, kita jangan main api. Apabila berlaku kekecohan, masing-masing tuduh menuduh. Saya bersekolah di St Gabriel's di Kg Pandan dari sekolah rendah hingga ke menengah. Di sekolah itu, kami hari-hari dialog. Setiap hari di perhimpunan sekolah, semua murid Islam berbaris untuk mengamin doa yang dibaca oleh Ustaz Ahmad. Di perhimpunan yang sama, murid-murid Kristian berbaris di sebelah kami mengamin doa yang dibaca oleh Mr Wee atau cikgu yang bertugas. Tak kecoh, tak ribut, tak bakar apa-apa pun. Yang ada, bila kami kongsi rokok yang diseludup masuk oleh Yogibear. Yang terbakar hanya hati cikgu disiplin yang merotan kami di majlis perhimpunan mingguan. Ngah, Yogi dan Kambing (namanya Kam Peng tetapi kita tak pernah sebut dengan betul) ialah antara yang selalu kena sebat. Dulu semua okay. Hari ini, kalau kita tak berhati-hati, semua boleh KO!

Sunday, January 10, 2010

Soalan untuk Datuk Hishammuddin, KDN

MENTERI Dalam Negeri Datuk Hishammddin Hussein adalah antara individu yang dipertanggungjawabkan untuk menjamin ketenteraman awan di negara ini. Beliau memberitahu semua yang dia dan kerajaan tidak akan berkompromi dalam usaha menjamin keamanan negara. Jika ada soalan-soalan yang ingin diajukan kepada beliau, saya harap saudara/i boleh turunkan di sini. InsyaAllah, saya akan sampaikan soalan atau keluhan kita bersama kepadanya. Salam

Saturday, January 9, 2010

Jgn mudah tuduh orang Islam bakar gereja

RUPA-RUPANYA ada juga ahli masyarakat kita yang percaya bahawa percubaan membakar beberapa buah gereja di sekitar KL dibuat oleh orang Islam. Malah, ada antara mereka yang membuat kesimpulan begitu semata-mata berpandukan kepada keadaan semasa, di mana penggunaan kalimah Allah sedang hangat dipertikaian antara umat Islam dan puak yang menyokong penggunaan kalimah itu oleh sebuah majalah Katolik. Tanpa sebarang bukti nyata dan penyiasatan rapi, sebahagian masyarakat menuding jari kepada orang Islam sebagai penjenayah itu. Ini bahaya dan tidak bertanggungjawab. Kesimpulan beginilah yang merosakkan negara kita. Bagaimana pula jika keadaan sebaliknya yang berlaku? Tak semestinya orang Kristian pula yang dipersalahan. Jangan mudah terpedaya dengan sentimen yang cetek dan minda yang sempit. Hati-hati bila membuat kesimpulan. Selidik dahulu kawan-kawan. Jangan mudah melatah.

Thursday, January 7, 2010

Syamsul, Ram, Juana masuk Gaza


SAHABAT seperjuangan dalam dunia kesukarelawanan saya, Syamsul Akmar dari Yayasan Perdana Global, menghantar satu pesanan melalui Blackberry pagi tadi. "Saya dah masuk Gaza. Kira-kira jam 8 pagi waktu Malaysia." Alhamdulillah! Selepas beberapa hari mengharung pelbagai rintangan, mereka berjaya juga. Jika niat kita ikhlas dan baik, kita akan diberi laluan juga akhirnya. Moga-moga objektif NGO Viva Palestine itu berjaya menyampaikan bekalan kepada mereka yang terperangka di Gaza. Saya boleh bayangkan betapa gembira dan rasa syukur dapat masuk ke situ. Saya mengalaminya tahun lepas apabila berada di Gaza selama hampir 10 hari. Al-Arish, Rafah, Gaza...semuanya kenangan yang memberi pengajaran betapa usaha kecil juga boleh memberi manfaat besar kepada yang memerlukan. Syabas Syamsul dan Viva Palestine! Syabas Ram dan Juana!

Gambar: Syamsul dan A Bakar di pameran Gaza Yayasan Salam di London tahun lepas.

Tuesday, January 5, 2010

KDN buat rayuan; MCA buat kenyataan

KEMENTERIAN Dalam Negeri sudahpun mengambil tindakan untuk membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap penggunaan kalimah Allah oleh The Herald, sebuah majalah mingguan Kristian Catholic. Dalam pada itu, pertubuhan bukan kerajaan, orang perseorangan dan persatuan nasih lantang menyuarakan pandangan masing-masing. Suasana sebenarnya agak tegang, khususnya di Semenanjung Malaysia. Di Sarawak dan Sabah keadaan tidak seriuh di semenanjung. Mungkin masyarakat di kedua negeri itu sudah biasa dengan keadaan terhadap penggunaan kalimah itu di kalangan rakyat bukan Islam. Parti komponen Barisan Nasional tidak ada yang membuat kenyataan rasmi. Kecuali jurucakap biro politik MCA yang mempersoalkan tindakan pihak-pihak tertentu yang membuat aduan polis dan menganjurkan demonstrasi dan protest di beberapa tempat. "Tidak sesiapapun mempunyai hak mutlak terhadap kalimah Allah," kata jurucakapnya. Dalam keributan ini, tindakan kementerian dalam negeri untuk membuat rayuan sangat dihargai dan kita harap mahkamah rayuan akan bersidang seberapa cepat yang boleh untuk mengadili kes ini.

Saturday, January 2, 2010

Hati-hati dengan kalimah Allah.

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan kalimah Allah diguna oleh penerbit majalah Herald, the Catholic Weekly, mengundang masalah besar. Jika tidak ditangani dengan baik dan berhati-hati, ia boleh merosakkan apa juga keharmonian yang ada hari ini. Pelbagai pihak khususnya yang mewakili rakyat beragama Islam di negara ini sudah mula mengeluarkan kenyataan dan mengambil tindakan tertentu. Umpamanya, Persatuan Pengguna Islam Malaysia hari ini mengeluarkan kenyataan membantah keputusan mahkamah dan sekaligus melancar kempen petisyen. Sesiapa yang mahu menyertai petisyen itu boleh masuk ke sesawang www.muslimconsumer.org.my/herald dan ambillah tindakan yang sewajarnya. Persatuan Peguam Muslim pula mengeluarkan kenyataan yang keras terhadap keputusan itu. Dalam kenyataannya, presiden persatuan itu Zainul Rijal Abu Bakar, berkata persatuannya tidak nampak bagaimana keputusan itu boleh menjamin integrasi kaum di negara majmuk ini. Malah, ia akan menyulitkan apa juga usaha kearaah itu dan disebaliknya akan meluaskan lagi jurang perkauman di negara ini. Nah, 2010 baru saja berusia dua hari. Namun, bahang kontroversi sudah mula membayangi tahun baru ini. Sama-sama kita doa agar ia tidak mencetuskan perselisihan yang menggugat keamanan negara tercinta.