Tuesday, July 28, 2009

Keadilan untuk Mirza. Dr M bila pula?

SAYA dapat maklumat bahawa Datuk Mirza Mohammad Taiyab yang bebas dari tuduhan rasuah baru-baru ini akan kembali bertugas di pejabat lamanya. Malah, beliau dijangka menyambung tugas sebagai KP Pelancongan besok, iaitu 29 Julai. Mahkamah Session Kuala Lumpur minggu lepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mirza. Beliau dituduh bersetuju menerima rawatan pergigian bernilai RM13,860. Tuduhan "bersetuju menerima" pula bukan tuduhan asal. Tuduhan asal ialah "menerima." Saya difahamkan Mirza akan kembali bertugas pukul 8 pagi besok di pejabatnya di Tingkat 27, PWTC. Begitulah nasib Mirza. Tetapi bagaimana pula keputusan terhadap kes sembur ke atas mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad? Saya juga difahamkan, hari ini, 28 Julai, genap tiga tahun Dr Mahathir diserang di Kota Bharu. Saya yakin tidak lama lagi kita akan mendengar keputusan kes ini. Sama-sama kita tunggu.

Monday, July 27, 2009

Basmi jenayah, rasuah jadi keutamaan PM

PM Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan tugas bagi enam orang menteri kabinetnya untuk meningkatkan pencapaian dalam bidang pendidikan (Tan Sri Muhyiddin Yassin), mengurangkan jenayah (Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn), melawan rasuah (Datuk Seri Nazri Aziz), meningkatkan kualiti hidup mereka yang berpendapatan rendah (Datuk Seri Shahrizat A Jalil), memperbaikki prasarana di kawasan luar bandar (Datuk Seri Shafie Afdal)dan memperbaikki sistem pengangkutan awan (Datuk Seri Ong Tee Keat.) Semua bidang ini adalah amat penting dan memerlukan kaedah baru dan penelitian yang benar-benar rapi. Ia bukan mudah. Namun bidang-bidang ini adalah asas kepada kesejahteraan rakyat di seluruh pelusuk tanahair. Menteri-menteri yang ditugaskan perlu memberi tumpuan yang tidak berbelah bagi dalam usaha ini. Bagi kebanyakan orang, kadar jenayah yang menjadi-jadi dan kes rasuah yang semakin diperbualkan hari ini adalah antara masaalah yang paling rumit dan berat. Kalau kita balik rumah dan tak dapat tidor nyenyak kerana takutkan keselamatan diri dan keluarga, macam mana nak memikirkan hal-hal lain. Dengan pengumuman ini, harapan rakyat ke atas pentadbiran Najib semakin meningkat. Oleh yang demikian, demi kesejahteraan rakyat, menteri yang dinamakan hendaklah melaksanakan tugas mereka sebaik-baiknya. Apabila PM meletakkan kepercayaan yang begitu tinggi kepada mereka, ia juga bermakna PM mengharapkan prestasi yang berkesan lagi segera. Masa untuk bercakap dah berlalu. Sekarang ini ialah waktu untuk bekerja dan membuktikan keupayaan. Sedikit masa lagi, rakyat akan mula menagih janji. Jika PM meletakkan harapan yang tinggi kepada mereka, rakyat dah tentu menaruh harapan setinggi gunung.

Siasat segera kandungan blog t4tbh

SESIAPA saja yang melayari blog baru t4tbh.blogspot.com akan bertanya seribu soalan. Apakah kandungan yang dilapor dalam blog itu sejak beberapa hari lalu benar atau sebaliknya. Beberapa akhbar utama menyelitkan laporan dari blog baru itu, sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat kenyataan bahawa ia akan menyiasat kandungan blog berkenaan. Jika kandungan blog itu boleh dipercayai, SPRM harus menyiasat segera untuk memastikan ketepatan berita blog itu. Blog itu juga memuatkan salinan beberapa projek yang diberi kepada pihak-pihak tertentu, termasuk kira-kira kewangan. Semua ini wajib disiasat segera. Beberapa nama wakil rakyat kerajaan PKR Selangor disebut dalam blog itu - Ronnie Liu dan Ean Yong Hian Wah. Ini memaksa pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan mempertahankan kedua wakil rakyat DAP itu yang menganggotai EXCO kerajaan Selangor. Selagi siastan tidak dilakukan, spekulasi tentang tuduhan dalam blog itu akan menjadi bahan cakapan orang ramai. Jika Kit Siang sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan mempertahankan anak buahnya, sudah tentu MP Ipoh Timur itu melihat perkembangan dalam blog itu sebagai satu perkara yang sirius.

Sunday, July 19, 2009

al-Fatihah untuk Anient Mariner.

SAYA hanya berjumpa dengan blogger Ancient Mariner beberapa kali. Itupun di majlis sosial atau majlis yang mana bloggers djemput hadir. Kalau ingatan saya tak silap, saya berjumpa dengannya buat kali terakhir di Sidang Bloggers anjuran All-Blogs. Majlis itu buat di Kelana Jaya kira-kira dua bulan lalu. Ancient Mariner atau Kapt Yusof meninggal semalam. Walaupun saya tidak kenal rapat dengan Allahyarham, saya merasa kehilangannya. Saya merasa kehilangan satu perjuangan. Moga-moga rohnya dicucuri rahmat.

Tak perlu suruhanjaya, tapi siasat segera

SAMADA sebuah suruhanjaya ditubuh atau tidak untuk menentukan punca kematian Teoh Beng Hock bukan perkara utama dalam kes ini. Yang penting ialah penyiasatan yang rapi, tepat dan cepat. Dalam hal ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammuddin Tun Hussein, perlu memastikan PDRM menyegerakan siasatan. Lagi lama siasat, lagi banyak timbul teori, tuduhan, cemohan dan kesangsian. Penubuhan sebuah suruhanjaya belum tentu menjamin penyiasatan yang cepat dan tepat. Keluarga Teoh, bekas setiausaha politik EXCO Kerajaan Negeri Selangor Ean Yong Hian Wah, berada dalam keadaan yang amat sedih dan memerlukan keadilan segera. Cara yang terbaik untuk membantu mereka ialah dengan mencari punca kematian ahli keluarga ini secepat mungkin. Kita pernah lihat betapa kematian yang membabitkan orang politik, atau kematian yang dipolitikkan, berakhir dengan kekecohan. Malah, ia pernah menjadi punca rusuhan yang merugikan semua pihak. Oleh yang demikian, kita semua harap PDRM akan melaksanakan tugas sebaik mungkin bukan sahaja untuk mencari punca kematian Ong, tetapi untuk mengelakkan institusi ini dari diperlekehkan.

Saturday, July 18, 2009

Manek Urai beri petanda kpd Umno, Pas











APA AGAKNYA akan terjadi kepada penjual durian di Manek Urai, Kelantan? Selama hampir dua minggu Manek Urai menjadi medan perebutan politik yang berakhir dengan kemenangan memihak kepada PAS. Sepanjang tempoh kempen, peniaga durian mendapat "durian runtuh" dengan kehadiran beratus orang penyokong kedua parti yang naik tangga turun tangga meraih undi. BN/UMNO gagal merampas kerusi dewan undangan negeri itu tetapi berjaya meraih pungutan undi yang memberi harapan kepada parti itu. Ketua Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapha Mohamad, bertungkus lumus berusaha mengambalikan keyakinan pengundi kepada Umno. Pemimpin PAS Dr Hatta Ramli mengakui bahawa jentera Umno lebih rajin bekerja. Ini dapat saya lihat sendiri ketika berada di Manek Urai beberapa hari. Ada pemerhati politik yang membuat kesimpulan bahawa jurang antara kedua parti itu semakin rapat, dan ini adalah satu petanda baik terhadap ura-ura kedua parti itu sedang berusaha mewujudkan kerajaan perpaduan. Umno tidak boleh merasa terlalu sedih dengan kekalahan itu. Malah, Pas, yang menang dengan lebihan 65 undi, pula tidak boleh begitu gembira dengan kemenangan itu. Pergeseran dalaman yang kita lihat dalam Pas adalah antara punca pengundi berpindah kepada Umno. Pengundi muda juga mula memihak kepada Umno, memberi pemimpin parti itu semangat baru yang diharapkan. Cara Umno beroperasi di Manek Urai juga mencerminkan satu gerakan baru dimana satu bilik gerakan pusat diwujudkan. Ini membolehkan setiap kempen dikoordinasikan dengan lebih berkesan.

Gambar-gambar ini ihsan New Straits Times/Berita Harian

Wednesday, July 15, 2009

Jom makan nasi minyak pengantin!



MOGA2 bahgia ke anak cucu - inilah doa yang kita panjangkan kepada Sharifah Mahsinah Syed Abdullah dan Adnan Mohamad, dua wartawan kumpulan NSTP yang bertugas di Kota Baru. Saya sempat bertemu mereka semasa bertugas meninjau pilihanraya kecil Manek Urai semalam. Pasangan ini menjemput sahabat dari NSTP ke majlis perkahwinan mreka yang berlangsung pada 23 Julai ini di Kuala Krai. Kalau sesiapa yang berhajat nak makan nasi minyak, sila ke majlis mereka.

Friday, July 10, 2009

Al-Fatihah buat Allahyarham Nawal

Al-Fatihah. Ucapan takziah saya kepada abang Karim Shukor, yang kehilangan bekas isterinya Nawal. Allahyarham Nawal ialah bekas wartawan Bernama pada tahun '70an dan '80an. Saya pernah bertugas dengan beliau di Bernama pada awal '70an. Ucapan takziah kepada Farah, wartawan New Straits Times. Jenazah akan dikebumikan selepas solat Jumaat hari ini. Jenazah dibawa dari hospital KL ke masjid Asyakirin Gombak. Moga-moga rohnya dicucuri rahmat.

Friday, July 3, 2009

Pas kata Dap kata PKR kata

SALAM! Kecoh juga keadaan di Kedah Darul Aman minggu ni. Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri jelapang padi itu berhadapan dengan satu keadaan yang rumit. Mungkin tak sampai ke tahap krisis tetapi mendebarkan jugalah bagi pihak yang terbabit. Ini hal dalaman mereka tetapi percakaran macam tu memang ada dalam mana-mana pakatan pun. Tak menghairankan. Cuma, pengundi pasti tertanya-tanya apakah kepentingan mereka akan terabai akibat pertelingkahan ini. Bagi pihak yang terbabit, mereka pasti mempertahankan keadaan dan menegaskan bahawa mereka mengambil tindakan tertentu semata-mata untuk menjaga kepentingan masyarakat juga. Dalam politik, mesti ada kata mengata. Itu budaya mereka, tak kira parti mana. Bak kata pepatah orang tua - paku dulang paku serepih, mengata orang, dia yang lebih!

Thursday, July 2, 2009

Doakan yg terbaik utk Pemuda Pas, Umno




SALAM! Semalam berita mengenai usaha untuk duduk semeja dan bincang hal negara dan bangsa antara Pemuda Pas dan Umno beri nafas baru dalam politik tanahair. Mungkin ia terlalu awal untuk membuat sebarang penilaian. tetapi berita ini yang dimuatkan di muka hadapan akhbar Melayu hari ini memberi harapan kepada ramai orang Melayu. Sebelum ini, harapan yang sama berkecai apabila Pas menarik balik hasratnya untuk duduk semeja dengan Umno dan bincang isu kerajaan perpaduan. Rupa-rupanya, barisan pemimpin pelapis kedua parti menyimpan cita-cita yang tak kurang besar dan bermakna. Saya harap mereka duduk semeja dan mengenepikan apa juga prejudis dan prasangka yang mungkin menebal di kalangan sebahagian ahli kedua-dua parti. Dalam pemerhatian rakyat biasa, falsafah politik di kalangan orang politik memang berbeza, tetapi ini tidak seharusnya menjadi faktor utama untuk tidak mencari bibit-bibit pertemuan minda dan perjuangan ke arah perpaduan yang menguntungkan kita semua. Syabas Pemuda Pas dan Umno! Kita doakan kejayaan.